PERASUAH HIDUP TERUMBANG AMBING

H: Rasuah itu zalim kerana ‘makan’ hak orang lain

SHAH ALAM – Rasuah adalah satu perbuatan melampau dan zalim kerana ia mengambil serta memakan hak orang lain demi memenuhi tuntutan nafsu sendiri.

Pendakwah, Nurul Hidayah Kamarudin berkata, Islam menyifatkan rasuah sebagai suatu perkara yang melampaui urusan agama kerana ia sudah membuatkan individu terlibat memakan harta orang lain secara salah.

Malah, katanya, agama Islam telah menggariskan undang-undang kewangan seperti jual beli, wakaf, derma, pelaburan, sewa beli, pinjaman dan pelbagai lagi demi untuk menghalang seseorang daripada mengambil harta orang lain dengan haram.

“Apabila seseorang itu melakukan rasuah pasti ada gantian atau manfaat yang diperoleh, dan gantian manfaat ini bukanlah hak kepada diri pemberi dan penerima rasuah.

“Dan manfaat ini menyebabkan hilangnya atau kurangnya hak orang lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Nurul Hidayah yang juga Eksekutif Kanan Zakat, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPZ MAIWP), individu yang terlibat dengan aktiviti rasuah hidupnya pasti terumbang ambing.

“Hak orang lain semua hilang dan institusi ekonomi juga tidak akan berkembang dengan maju serta tidak boleh
pergi jauh ini kerana keuntungan hanya berkisar pada pihak yang menawarkan rasuah’

“Keadaan inilah yang akan menyebabkan dirinya, keluarga, masyarakat atau negaranya akan hilang rahmat ALLAH SWT,” katanya.

Nurul Hidayah menyokong usaha Sinar Harian melaksanakan kempen Sinar Rasuah Busters dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.

Tambahnya, pemerkasaan dalam pendidikan agama perlu dipergiatkan kerana hanya iman dan ketakwaan mampu menjadi benteng daripada menjadi perasuah.

“Kalau kita takutkan ALLAH SWT, kita tidak akan terjebak dalam aktiviti yang dilaknat ALLAH ini,” kata beliau.

Leave a Reply