ISTIQAMAH BERIBADAH BUKAN HANYA ‘HAMBA’ RAMADAN

Oleh Suzalina Halid
[email protected]


KUALA LUMPUR: Setiap kali tiba Ramadan, pasti akan berlakunya situasi di mana ramai umat Islam termasuk
selebriti mengambil peluang menutup aurat dan mengkhatam al-Quran.

Namun sayangnya amalan mulia itu hanya dilihat ketika Ramadan dan tidak diteruskan pada bulan
berikutnya.

Pendakwah, Nurul Hidayah Kamarudin, menjelaskan ramai pihak yang salah faham dengan menganggap Ramadan
adalah destinasi umat Islam dalam meningkatkan iman.

Sebaliknya, beliau yang juga Eksekutif Kanan Zakat Pungat Pungutan Zakat (PPZ) berkata, Ramadan adalah medium dan jalan untuk mencapai matlamat serta destinasi menjadi hamba Allah yang taat bagi mendapat keredaanNya.

Beliau berkata, ketika umat Islam mendapat ‘hidayah’ ketika pada bulan Ramadan dengan mentaati perintah
Allah, seharusnya ia terus dibawa bersama di luar Ramadan.

Katanya, ia adalah berdasarkan kalam hikmah yang membawa maksud ‘kami mahukan kita keluar bersama
Ramadan sepanjang tahun, bukan keluar daripada Ramadan (meninggalkan segala ibadat dan ketaatan sebagai
hamba Allah selepas habis Ramadan).

Beliau berkata, tidak dinafikan Ramadan adalah bulan ibadat namun ia tidak bermaksud pada bulan selain itu adalah tempoh masa untuk tidak mentaati perintah Allah.

“Ini kerana tanda seseorang berjaya dalam Ramadan adalah apabila amalan baik yang lakukan boleh dibawa berterusan kepada bulan seterusnya kerana Ramadan menjadi ukuran kejayaan iman kita.

“Kalau kita keluar sekali bersama Ramadan dengan mengekalkan amalan itu, makanya kita berjaya mendapat
tarbiyah Ramadan dan bergraduasi dengan baik.

“Ia seperti kita menjalani latihan ataupun ingin mengambil lesen kereta, kita akan ikut arahan daripada
guru memandu dan pihak berkuasa. Namun selepas mendapat lesen, adakah kita berupaya untuk mengikut
arahan itu lagi?

“Adakah amalan kita hanya dibuat pada Ramadan sedangkan Ramadan bukan matlamat atau destinasi yang mana
ramai salah faham konsep menyebabkan mereka hanya taat pada perintah Allah hanya dalam bulan Ramadan
sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Nurul Hidayah berkata, apabila ada umat Islam yang sudah salah faham dengan konsep
Ramadan sebagai matlamat, ia boleh menjadikan mereka tersalah destinasi dalam menjadi umat Islam yang
baik.

Katanya, bagi mencapai matlamat untuk mendapat reda Allah, selain Ramadan, ada pelbagai medium lain bagi menuju ke arah itu antaranya melalui ujian.

Beliau berkata, jika amalan baik yang sepanjang dilakukan ketika Ramadan hanya terhenti setakat bulan itu, maksudnya mereka Ramadan gagal menjadi medium atau tidak lepas ‘peperiksaan’ Ramadan untuk menjadi umat Islam yang baik.

“Sebagai contoh, jika kita hanya menutup aurat ketika Ramadan sedangkan hukum Allah ini perlu dilakukan selama-lamanya…maksudnya mereka tersalah arah atau silap destinasi.

“Kenapa dalam bulan Ramadan, kita boleh meninggalkan keperluan utama iaitu makan dan minum namun kenapa di luar bulan Ramadan kita tidak boleh meninggalkan benda haram?

“Kalau kita rasa bersalah makan waktu siang pada Ramadan, sepatutnya kita perlu rasa yang sama ketika tidak mematuhi hukum Allah pada 11 bulan lain,” katanya.

Jika mereka menyampaikan hujah bahawa sekurang-kurangnya golongan ini menunjukkan contoh yang baik untuk pengikut atau peminat, Nurul Hidayah berkata, amalan bukanlah untuk ditunjukkan kepada manusia.

Katanya, ia adalah berdasarkan surah Az-Zumar ayat tiga yang bermaksud ‘Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dan segala rupa syirik).

“Ada sejuta alasan untuk kata begitu dan begini namun adakah kita sedang menipu Allah. Hakikatnya amalan kita tak perlu bertujuan untuk menunjukkan kepada orang kerana jika berniat begitu, ia sudah tergelincir daripada matlamat.

“Berdasarkan ayat al-Quran setiap perbuatan dan amal mestilah untuk Allah semata-mata,” katanya.